Pastikan Rumah Mampu Milik Mencukupi


KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mengesyorkan kerajaan, menerusi pihak berkuasa berpusat memastikan bahawa bekalan rumah mampu milik adalah mencukupi.
Bank pusat itu dalam Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran berkata, bagi mencapai matlamat itu, pihak berkuasa yang berkenaan boleh membuat perancangan yang lebih baik, mengurangkan kos pembinaan dan mencapai kecekapan skala dalam pembangunan dan peruntukan rumah mampu milik.
"Ini boleh dicapai dengan mengehadkan inisiatif bertindih dan menggalakkan pengagihan sumber yang lebih cekap," katanya.
Selain menyediakan bekalan rumah mampu milik yang secukupnya, BNM berkata adalah penting untuk memastikan pembangunan projek perumahan mampu milik dibuat di lokasi yang mempunyai rangkaian pengangkutan awam yang baik.
"Contohnya, pendekatan berorientasikan transit dalam pembangunan bandar, menekankan rangkaian hubungan pengangkutan awam antara projek perumahan mampu milik dengan pusat pekerjaan utama, akan menambah baik akses dan meringankan beban kewangan berkaitan dengan keperluan untuk memiliki kenderaan," katanya.
BNM berkata, di negara yang sudah menunjukkan kemajuan yang ketara dalam menangani isu kemampuan memiliki rumah, pembinaan rumah mampu milik disokong oleh adanya pangkalan data bersepadu merangkumi bekalan rumah mampu milik dan permintaan terhadapnya.
Laporan yang dikeluarkan oleh BNM mendapati harga rumah di Malaysia masih kekal tidak mampu dimiliki, khususnya projek perumahan yang terletak di kawasan pusat pekerjaan utama.
Berdasarkan laporan itu, sejak bulan Januari 2016 hingga September 2017, hanya 24 peratus daripada pelancaran rumah baharu (25,124 unit termasuk yang dibina oleh pemaju swasta) ialah rumah yang berharga di bawah RM250,000.
BNM berkata, jumlah ini tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan kira-kira satu pertiga isi rumah Malaysia yang hanya mampu membeli rumah pada harga berkenaan.
Menurutnya, ketidakpadanan ini diburukkan lagi oleh peningkatan yang lebih perlahan dalam pendapatan isi rumah median (CAGR 2012-2016: 9.6 peratus) berbanding dengan harga rumah median (15.6 peratus).
"Keadaan ini menyebabkan rumah sangat tidak mampu dimiliki di kawasan tertentu di negara ini (untuk maklumat terperinci mengenai kemampuan memiliki rumah, rujuk http://www.housingwatch.my/02_market_03_affordability.html).
"Berikutan itu, penyelesaian yang menyeluruh diperlukan segera untuk menangani kekurangan bekalan rumah mampu milik," katanya.

Kredit: bharian.com.my

0 Comments:

Post a Comment