KUALA LUMPUR: Harga rumah kediaman di Malaysia kekal tidak mampu dimiliki kebanyakan isi rumah pada 2016, berikutan kegagalan pasaran menyediakan rumah mampu milik yang mencukupi.
Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataan hari ini berkata, isu berkenaan sebahagian besarnya disebabkan oleh ketidakpadanan penawaran dan permintaan, berbanding pertumbuhan pendapatan yang lebih perlahan.
"Harga maksimum bagi rumah mampu milik dianggarkan sekitar RM282,000 namun, harga sebenar yang ditawarkan adalah RM313,000.
"Situasi itu melangkaui had kelayakan kebanyakan isi rumah, di mana jumlah pendapatan isi rumah hanya RM5,228," menurut BNM dalam artikel buletin sukuannya.
BNM berkata, dari segi penawaran, faktor struktur dan kitaran dalam pasaran kediaman di Malaysia mengakibatkan kegagalan pasaran untuk menyediakan bekalan perumahan mampu milik yang mencukupi.
Manakala dari segi permintaan, bank pusat itu menjelaskan bahawa pertumbuhan pendapatan isi rumah tidak selari dengan peningkatan harga kediaman.
"Berikutan ketidakpadanan permintaan bekalan yang membimbangkan, jumlah harta kediaman yang tidak terjual di Malaysia berada pada paras tertinggi satu dekad, iaitu 146,4977 unit pada suku kedua 2017, peningkatan daripada 130,690 unit pada suku pertama 2017.
"Pada suku kedua 2017 , hampir 82 peratus unit tidak terjual berharga melebihi RM250,000," menurut kenyataan itu.
Bagi menangani isu itu, BNM mencadangkan supaya satu entiti tunggal diwujudkan untuk menerajui inisiatif perumahan mampu milik.
"Penyediaan perumahan mampu milik yang diselaraskan kini dipecah dan tidak teratur. Lebih 20 agensi peringkat kebangsaan dan negeri terbabit dalam penyediaan skim ini.
"Faktor ini menyebabkan penyelarasan dasar menjadi isu, sekali gus memperlahankan matlamat kerajaan ke arah menyediakan sejuta rumah mampu milik menjelang 2018.
Selain itu, BNM mencadangkan supaya menubuhkan pangkalan data bersepadu untuk membantu dalam memenuhi permintaan dan penawaran serta mengurangkan kos pembinaan.
"Pada masa ini, Malaysia tidak mempunyai pangkalan data yang menyimpan jumlah bekalan dan permintaan
kediaman. Kekurangan maklumat seperti pendapatan isi rumah, ciri dan keutamaan menghalang keupayaan bekalan untuk disesuaikan secara berkesan bagi memenuhi permintaan isi rumah.
"Pangkalan data hendaklah terdiri daripada pendapatan isi rumah, ciri dan keutamaan (saiz kediaman dan lokasi) di pasaran," kata BNM.
BNM juga berpendapat, kos pembinaan yang tinggi kekal sebagai cabaran utama dalam pembinaan rumah mampu milik.
"Terdapat banyak cara untuk mengurangkan kos iaitu penggunaan lebih banyak kaedah pembinaan yang lebih maju, menyatukan sumber di bawah satu entiti dan mengurangkan kos pematuhan bagi projek perumahan mampu milik," kata BNM.
Kredit: bharian.com.my