KUALA LUMPUR: Siri pertama Pameran Hartanah MyRumah 2019 menawarkan pilihan 12 projek perumahan sekitar Lembah Klang merangkumi sejumlah 2,011 unit kediaman dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) lebih RM923 juta.
Ia turut menyasarkan pembeli rumah dan pelabur hartanah di wilayah tengah dengan menawarkan hartanah serendah RM130,000 sehingga RM1.4 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Seri Abdul Jalil Hamid, berkata sejak diperkenalkan pada 2016, MyRumah sudah bekerjasama dengan 53 pemaju perumahan dan 18 syarikat bukan pemaju.
"Pelbagai penambahbaikan dibuat dalam usaha kumpulan untuk merealisasikan impian rakyat Malaysia bagi memiliki kediaman sendiri yang selesa. 
"Antara sokongan utama yang diterima bagi penganjuran kali ini ialah daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Perumahan Negara yang mempamerkan projek mampu milik kerajaan serta skim hartanah yang tersedia untuk kakitangan kerajaan," katanya pada pelancaran siri pertama MyRumah 2019, di sini, hari ini.
Pelancaran disempurnakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.
Hadir sama ialah Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, Yahya Ab Ghani; Pengarah Urusan Kumpulan, Media Prima Bhd (MPB), Datuk Kamal Khalid; Pengarang Eksekutif Projek Khas BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Pengurus  Besar Pengiklanan NSTP, Roche Chew.  
MyRumah anjuran NSTP memasuki tahun keempat penganjuran dan Kuala Lumpur adalah siri pertama daripada keseluruhan tujuh siri penjelajahan pameran hartanah ini ke seluruh negara.
Mengulas lanjut, Abdul Jalil berkata MyRumah berkonsepkan 4P yang mana menggabungkan elemen pameran, pengalaman, pendidikan dan terbaharu persekitaran sebagai manifestasi usaha NSTP untuk mewujudkan persekitaran sihat serta komuniti yang harmoni.
Selepas Kuala Lumpur, MyRumah akan diadakan di Seberang Perai pada Jun, diikuti Melaka (Julai), Johor Bahru (Ogos), Kuantan (September), Kota Kinabalu (Oktober) dan penutup siri di Ipoh pada November depan.
Turut melengkapkan ekosistem dinamik pameran hartanah MyRumah iaitu penyertaan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan MBSB Bank. 
Antara projek terkenal yang bakal ditawarkan adalah Rencana Royale@TTDI; Anjung Melati Dua@Gombak; Elmina Green 1, City of Elmina; Anggerik, Nilai Impian; Castilla, Chemara Hill serta Nara dan Gaia Residences, Gamuda Gardens.
Siri pertama MyRumah 2019 berlangsung hari ini hingga Ahad ini bertempat di Pusat Beli-Belah MyTown Cheras dan mula dibuka pada jam 10 pagi hingga 10 malam.
Pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang penganjuran seperti ceramah daripada pakar hartanah, demo masakan serta berpeluang memenangi sebuah kereta Nissan Almera menerusi cabutan bertuah.
Maklumat lanjut mengenai MyRumah boleh didapati menerusi laman sosial Facebook iaitu www.facebook.com/MyRumahMPB atau emel ke myrumah@mediaprima.com.my.

Sumber: Berita Harian